Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Boikot PRK PD tanda Umno hanya berjuang untuk kuasa, bukan prinsip'

WAWANCARA | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa keputusan BN untuk memboikot PRK Port Dickson kerana tahu mereka tidak akan menang, bukan kerana merasakan ia satu pembaziran.

Maka Lim berkata ia menunjukkan sikap sebenar BN yang hanya berjuang demi kuasa, bukannya kerana prinsip atau idealisme.

"Sebagai politikus, adakala anda perlu berlawan walau tahu tidak akan berjaya, tetapi ia tentang perjuangan itu sendiri.

"Kerana jika anda tidak berjuang hanya kerana anda fikir akan kalah, maka DAP sepatutnya sudah lama berputus asa. Kami kalah teruk banyak kali tetapi kami tak pernah putus asa.

"Ini bermakna seluru perjuangan mereka (Umno dan BN) bukan kerana prinsip dan idealisme tetapi lebih kepada keuntungan, untuk kuasa," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Minggu lalu Khairy Jamaluddin juga menyatakan perkara sama - BN perlu meletakkan calon di PRK itu walau tahu ia sukar untuk dimenangi.

"Ada masanya, walau anda kalah, hakikat yang anda bertanding (membantu) untuk membina asas. Masalahnya saya fikir Umno sudah hilang asas mereka," katanya.

Semalam Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu akan "memboikot" PRK Port Dickson.

Selain merasakan ia satu pembaziran, Zahid juga berkata ia kerana PRK itu dibuat untuk matlamat politik individu.

Satu lagi parti pembangkang iaitu PAS setakat ini juga masih belum membuat keputusan muktamad untuk bertanding, dengan Naib Presiden Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah berkata PRK itu "tidak perlu dilayan".

"Jika BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah...Tetapi keputusan muktamad akan diputuskan menerusi mesyuarat parti," katanya.

Setakat ini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang bekas pemimpin MIC mengumumkan hasrat bertanding dalam PRK Port Dickson.

Mengulas lanjut, Lim berkata lebih baik gagal selepas mencuba berbanding gagal untuk mencuba dengan menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai contoh yang kembali ke arena politik dan bekerjasama dengan seteru-seteru lamanya untuk "menyelamatkan Malaysia".

"Sukar baginya untuk untuk sampai ke kesimpulan (Malaysia dalam bahaya di bawah BN) tetapi setelah itu, beliau tahu tiada pilihan lain, bahawa jika beliau tidak membuat usaha terakhir, beliau tidak akan memaafkan dirinya sendiri.

"Jadi walaupun mungkin gagal, sekurang-kurangnya beliau sudah mencuba," katanya sambil berkata ia juga merupakan semangat yang dipegang Pakatan Harapan (HARAPAN).

Lihat Komen
ADS