Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan permohonan semakan kehakiman Sisters In Islam (SIS) bagi mencabar keputusan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai ‘sesat dan menyeleweng’ empat tahun lalu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat oleh kuorum tujuh anggota Mahkamah Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum ketika mempengerusikan kuorum itu turut merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh semua pihak bahawa perayu bebas membangkitkan sebarang isu termasuk isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, peguam yang mewakili SIS, Malik Imtiaz Sarwar memaklumkan kepada mahkamah berhubung bantahan awalnya terhadap rayuan oleh jawatankuasa fatwa, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor, memandangkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan SIS tidak menyentuh isu bidang kuasa.

Katanya, jika isu bidang kuasa dipersoalkan, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dalam kes M Indira Gandhi bahawa ia boleh membicarakan perkara-perkara mengenai cabaran perlembagaan, dan oleh itu, rayuan sekarang harus ditolak.

Peguam jawatankuasa fatwa, Sulaiman Abdullah dan penasihat undang-undang kerajaan negeri, Nik Suhaimi Nik Sulaiman, berkata perkara bidang kuasa itu telah diuruskan di Mahkamah Tinggi.

Walau bagaimanapun, selepas dua waktu rehat yang singkat, pihak-pihak bertelagah memberitahu mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk memulakan semula perbicaraan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Hakim Malanjum kemudian memuji kedua-dua pihak yang mencapai persetujuan dan berkata ini akan menjimatkan masa.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Presiden Mahkamah Rayuan Hakim, Tan Sri Ahmad Ma'arop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, dan Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Selain SIS, semakan kehakiman itu turut difailkan oleh pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Peguam Yusfarizal Yusoff mewakili MAIS.

Dengan keputusan itu, kuorum hari ini mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Mac tahun lalu. Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 2 Oktober depan.

SIS dalam permohonannya, memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’ adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

[Baca berita penuh]