Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pahang tidak bercadang ubah had umur perkahwinan

Pahang tidak bercadang untuk mengubah had umur perkahwinan sedia ada di negeri ini seperti yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata ini kerana kes perkahwinan bawah umur di Pahang terlalu kecil dan bukan isu.

“Buat masa kini, Pahang masih mengguna pakai had umur minimum perkahwinan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005 Negeri Pahang. Belum ada cadangan untuk mengubahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan hari ini yang turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Mohd Zafri Hamzah.

Shahaniza menyarankan kerajaan pusat supaya memperkemaskan kembali proses perkahwinan kanak-kanak di bawah umur seiring dengan cadangan untuk mengubah peraturan dan undang-undang berkenaan perkara itu.

“Kami bukan nak menggalakkan perkahwinan bawah umur tetapi proses ini perlu diperkemaskan sekiranya ada kes-kes tertentu yang membenarkan perkahwinan ini berlaku.

“Proses ini termasuklah melibatkan laporan terperinci pegawai kaunseling daripada pihak terlibat seperti JKM dan juga laporan perubatan sebelum perkahwinan dijalankan.

“Ini bagi memastikan anak-anak ini tidak dipergunakan oleh orang tertentu kerana dengan umur sedemikian mereka masih tidak boleh membuat keputusan sendiri,” katanya.

Katanya lagi, satu kajian yang bersesuaian juga perlu dilakukan memandangkan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak pada masa kini tidak lagi seperti dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mencadangkan agar had usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Bagaimanapun Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpendapat had umur minimum perkahwinan perlu diturunkan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki dengan alasan anak-anak kini lebih matang dan terdedah dengan soal seks.

-Bernama

Lihat Komen
ADS