Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian pemandu kereta bertindak samseng dengan menendang cermin sisi sebuah kenderaan dan merampas telefon bimbit penumpang hadapan berhampiran pusat membeli belah Queensbay dekat sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A A Anbalagan berkata lelaki berusia 30 tahun dan bekerja sebagai operator kilang di Bayan Lepas itu ditahan di Teluk Kumbar, dekat Georgetown pada 12.15 tengah hari ini.

"Dalam kejadian 6.50 petang semalam, mangsa bersama isteri dan dua anaknya menaiki kereta jenis Toyota Camry apabila tiba-tiba terdengar bunyi hon berulang kali dari arah belakang kereta dipandunya sebelum mendapati kereta itu berada di sebelah kirinya.

"Pemandu kereta jenis Proton Saga BLM itu membuka cermin tingkap kenderaannya dan memukul cermin sisi kereta mangsa sebelum dia memberhentikan kenderaan di hadapan (kereta mangsa) secara tiba-tiba. Kedua-dua mereka memberhentikan kereta masing-masing," katanya hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta itu keluar dari kenderaannya dan menendang cermin sisi kereta mangsa serta merampas telefon bimbit isteri lelaki tersebut.

"Wanita itu meminta semula telefon bimbitnya tetapi lelaki berkenaan (pemandu kereta) menarik rambut isteri mangsa sebelum orang ramai datang meleraikannya dan pemandu kereta terbabit menyerahkan semula telefon berkenaan," katanya.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, jari kiri wanita itu mengalami bengkak dan cermin sisi keretanya turut patah.

- Bernama