Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat plastik digesa beralih kepada produk mesra alam
Diterbitkan:  Sep 25, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Pengeluar plastik perlu menukarkan keluaran mereka kepada produk bio-degradasi dan mesra alam bagi mengurangkan penggunaan plastik pakai buang, kata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Menteri berkenaan Yeo Bee Yin berkata pengeluar tempatan perlu merebut peluang menghasilkan produk seumpama itu berikutan permintaan terhadapnya akan meningkat di peringkat global pada masa depan.

“Sisa bukan sahaja masalah rakyat Malaysia, malah masalah dunia,” katanya dalam ucap tama pada Hari Bioekonomi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menegaskan kerajaan melaksanakan usaha bersepadu bagi mencapai matlamat tersebut demi kemampanan alam sekitar supaya keadaan plastik lebih banyak daripada ikan di lautan, mampu dielakkan menjelang 2050.

“Satu daripada kaedah melakukannya ialah dengan menggunakan bioteknologi untuk menghasilkan bioplastik daripada atau disintesis oleh mikrob, sama ada bio-degradasi atau terhasil daripada sumber boleh baharu atau kedua-duanya.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, MESTECC dengan kerjasama kementerian dan agensi lain sedang menyediakan pelan hala tuju sifar plastik pakai buang yang akan dilancarkan pada 17 Okt, 2018,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Bioeconomy Development Corp Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata kejayaan dalam bioekonomi bukan hanya menjangkau sempadan negara dan serantau kerana penggiat industri juga perlu merentas sempadan yang wujud dalam industri dan sektor.

Beliau berkata perkara itu boleh dilakukan menerusi aplikasi antara industri, kerjasama sektor awam dan swasta serta peralihan akademik-industri.

“Sebagai contoh, Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP), yang menggabungkan syarikat berasaskan bio dengan komuniti pertanian bagi membolehkan mereka terlibat dalam mencipta nilai melalui inovasi bersumberkan bio, di samping memberi pendapatan tambahan kepada komuniti tersebut.

“Sehingga Ogos 2018, sebanyak 40 projek BCDP telah dilaksanakan melibatkan lebih 2,900 peserta,” katanya.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS