Semua pelajar pusat tahfiz Kepong cuti sejak semalam
Semua 43 pelajar pusat tahfiz di Kepong, yang pengetuanya didakwa meliwat sembilan pelajarnya, telah diarahkan bercuti dan pulang ke kediaman masing-masing semalam.
Seorang pentadbir pusat tahfiz berkenaan, yang namanya enggan dikenali, berkata arahan bercuti serta-merta itu dikeluarkan oleh pusat tahfiz berkenaan namun sehingga bila tidak diketahui.
"Arahan bercuti ini kerana ada gangguan daripada pihak media, pelajar-pelajar kami tertekan… saya khuatir maklumat daripada anak-anak ini akan disalah tafsir, bukan sebab seperti kes yang dilaporkan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 13 September, seorang pemilik pusat tahfiz berkenaan ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual, selain meliwat sembilan pelajar berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata susulan daripada arahan bercuti itu, pusat tahfiz berkenaan yang beroperasi di bangunan premis kedai pangsapuri ditutup sementara.
DBKL buat pemeriksaan
Sebelum itu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mustafa Mohd Nor melawat ke pusat tahfiz berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan membuat pemeriksaan pusat berkenaan.
Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut hasil pertemuan itu sehingga laporan siasatan selesai.
Terdahulu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad hari ini telah mengarahkan DBKL untuk menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram di sekitar ibu negara.
Katanya ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terpelihara.
- Bernama

