Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC panggil Najib, Guan Eng isu RM19 bilion bayaran balik GST hilang
Diterbitkan:  Sep 26, 2018 10:55 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi menjelaskan dakwaan kehilangan RM19.4 bilion dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusi PAC Datuk Ser Ronald Kiandee berkata, Najib akan dipanggil pada 17 Oktober manakala Lim pada 22 Oktober ini.

PAC juga memanggil semula bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pada - yang telah memberi penjelasan minggu lalu - pada 16 Oktober ini, katanya lagi.

"Jawatankuasa berharap dapat membuat rumusan serta memberi cadangan kepada kerajaan apabila laporan PAC berhubung isu ini dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ketiga-tiga mereka selesai memberikan penjelasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, dua bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Mac 2008-Jun 2016) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Jun 2016-April 2018) telah memberi penjelasan kepada jawatankuasa berhubung isu itu.

Ketika sidang Dewan Rakyat 8 Ogos lalu, Lim mendakwa kerajaan BN 'merompak' bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Katanya, audit dalaman dan pemeriksaan Jabatan Kastam mendapati sejumlah RM19.4 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST.

Bagaimanapun perkara itu disangkal Najib yang berkata kesemua kutipan GST, seperti kutipan cukai dan pendapatan lain, dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan.

Lihat Komen
ADS