Mahkamah Persekutuan putuskan k'jaan boleh fail saman fitnah
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.
Keputusan penting itu (landmark decision) dibuat panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Ma'arop yang menolak permohonan Anggota Parlimen Kuching Chong Chieng Jen dalam kesnya dengan kerajaan Sarawak.
Panel hakim menyatakan prinsip Derbyshire (individu yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh menyaman, berdasarkan kes Derbyshire County melawan Times Newspapers Ltd di Britain pada 1993) tidak terpakai kerana wujudnya undang-undang sedia ada, termasuk Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).
Mahkamah berkata, kerajaan memiliki reputasi dan boleh melindunginya melalui saman fitnah.
Ahmad dalam hujah bertulisnya antara lain memetik keputusan majoriti Mahkamah Rayuan sejak 2016, yang memutuskan Seksyen 3 GPA tidak mengecualikan prosiding bagi fitnah dan libel (fitnah bertulis) oleh atau terhadap kerajaan.
Beliau bagaimanapun mengarahkan kes Chong dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuching.
Pada 2012, kerajaan Sarawak memfailkan saman fitnah terhadap Chong - kini timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna - selepas beliau mengeluarkan kenyataan media yang kemudian dilaporkan beberapa organisasi berita, termasuk Malaysiakini dan Sin Chew Daily.
Mahkamah Rayuan pernah menggunakan prinsip Derbyshire sebanyak dua kali ketika menolak saman yang difailkan bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas Menteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng, kedua-duanya terhadap media.

