Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan warta 92,697 hektar hutan tadahan air
Diterbitkan:  Sep 26, 2018 1:11 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Kerajaan negeri Kelantan hari ini meluluskan pewartaan kawasan hutan tadahan air baru meliputi kawasan seluas 92,697 hektar, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, kawasan itu melibatkan 70 kompatmen dalam 11 kawasan jajahan hutan dalam hutan simpan kekal negeri Kelantan sekali gus menjadikan keseluruhan hutan tadahan air yang diwartakan adalah seluas 128,595 hektar atau 20.97 peratus daripada keseluruhan hutan simpan kekal.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen dan perhatian bagi menjaga kelestarian hutan dan alam sekitar dalam negeri Kelantan.

"Di bawah Seksyen 10(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, hutan tadahan air (HTA) merupakan salah satu daripada kelas fungsi bagi hutan simpan kekal (HSK) di bawah kelas hutan perlindungan.

"Maka, sejak tahun 2008, kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 35,898 hektar sebagai hutan tadahan air iaitu meliputi 5.85 peratus daripada 613,275 hektar kawasan hutan simpan kekal," katanya dalam kenyataan media, di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, Hutan Tadahan Air ini adalah sangat penting kepada alam sekitar yang mana ia berfungsi bagi melindungi kawasan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai ciri-ciri kawasan tadahan bagi tujuan menjamin sumber air secara berkekalan.

Selain itu katanya, ia juga bertindak sebagai kawasan konservasi kepelbagaian biologi hutan, kawasan penyelidikan dan pembelajaran dalam aspek pemeliharaan dan perlindungan kawasan Hutan Simpan Kekal untuk tadahan air.

"Ia juga bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum mengenai peranan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dalam pemeliharaan dan perlindungan kawasan tadahan air.

"Langkah pewartaan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini adalah bagi memastikan hutan di Kelantan sentiasa terpelihara bagi mencapai kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan dunia sejagat serta memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini," katanya yang juga ADUN Pasir Pekan.

Lihat Komen
ADS