Bekas pelayan bar ini berazam 'lemaskan' Anwar di PD
Ketika parti-parti besar keberatan, seorang penggiat seni meluahkan hasrat bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Port Dickson bulan depan.
Stevie Chan, 51, dari Segambut, Kuala Lumpur, mengumumkan perkara itu, yang antara lain, mahu memastikan pentadbiran sekarang memenuhi janji-janji pilihan raya.
“Sering kita dikecewakan dengan janji-janji manis ahli politik.
“Saya akui bahawa ada usul-usul saya yang mungkin sukar untuk dilaksanakan, tetapi sebagai wakil Bebas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sekurang-kurangnya membawa perbincangan ini ke peringkat nasional,” katanya.
Chan juga berjanji memberi perhatian khas kepada Port Dickson untuk mempertingkatkan mutu pengangkutan awam, mencegah jenayah dan menjadikan kawasan pelancongan itu lebih bersih.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai perantau sejak 1995 ke New York, Amerika Syarikat dan Shanghai, China yang pula ke tanah air pada 2004.
Di luar negara, kata Chan, dia berkata pernah menceburi pelbagai bidang pekerjaan, termasuk menjadi pelayan bar.
Anak petani dan penoreh getah dari Melaka itu mendakwa terlibat dalam pelbagai cabang seni, termasuk sastera, filem, muzik dan fotografi.
Selain Stevie, hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bekas setiausaha agung MIC Datuk S Kumar turut menyatakan hasrat bertanding.
BN memutuskan momboikot pilihan raya itu atas alasan pengosongannya tidak demokratik. PAS pula belum menunjukkan tanda-tanda mahu bertanding, walaupun penamaan calon lagi tiga hari.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14 Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara, merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi parlimen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi DUN iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson) (PKR).

