Pemisah selatan Thai yakin Rahim Noor lancarkan rundingan damai
EKSKLUSIF | Kumpulan pembebasan Selatan Thailand menyatakan keyakinan dengan pelantikan bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru bagi rundingan damai yang sedang berlangsung di wilayah itu.
Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (Pulo) memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menjangkakan perkembangan ketara dalam masa terdekat bagi membawa kedua-dua pihak - Majlis Syura Patani (Mara Patani) dan kerajaan Thailand - ke meja rundingan.
Presiden Pulo, Kasturi Mahkota berkata rundingan damai dengan pihak berkuasa Thailand yang dimulakan pada 2013 beralih ke fasa baru sejak Rahim mengambil alih bulan lalu.
"Saya percaya kita sedang melihat perkembangan ketika ini. Sebelum ini, perbincangan lebih bertumpu pada pendekatan membina keyakinan antara kedua-dua pihak, namun kini kita beralih ke arah perbincangan politik.
"Daripada apa yang saya maklum, mungkin dalam lima atau enam bulan dari sekarang, jika semuanya lancar, kita akan mampu mencapai titik persefahaman untuk ke meja rundingan," katanya kepada Malaysiakini semalam selepas perjumpaan dengan Rahim di Kuala Lumpur.
Ketika ini, Mara Patani dan kerajaan Thailand sedang berbincang syarat melalui fasilitator Malaysia.
Tugas berkenaan sebelum ini digalas oleh bekas ketua pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim. Selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih, Rahim dilantik bagi mengambil alih tugas itu.
Pemberontakan di Selatan Thailand yang bermula pada Jan 2004 telah mengorbankan lebih 6,000 nyawa, dengan pertempuran bersenjata dan pengeboman berterusan meskipun kedua-dua pihak cuba mencapai perjanjian damai.
Salah satu cabaran yang dihadapi adalah untuk membawa kesemua kumpulan pemisah bersenjata dalam proses rundingan damai.
Ketika ini, Mara Patani terdiri daripada lima kumpulan - Barisan Revolusi Nasional (BRN), Barisan Islam Pembebasan Patani, Gerakan Islam Mujahideen Patani dan dua kumpulan serpihan Pulo.
Kasturi berkata pihaknya berhasrat untuk mencapai gencatan senjata sebaik tiba di meja rundingan.
Tambahnya, pihaknya kini berhasil membawa hampir kesemua kumpulan pemisah untuk menyertai rundingan damai, sementara beberapa kumpulan lain menunjukkan minat dengna perkembangan yang ada setakat ini.
"Perkara ini (pemberontakan) tidak akan berhenti begitu saja, meski kita sudah capai kata sepakat. Ia akan mengambil masa. Tapi kita akan melihat perkembangan.
"Kita tidak menjangka ia akan berhenti serta-merta. Kita perlu beri ruang untuk meyakinkan kesemua pihak. Dan saya lihat proses ini kini melibatkan lebih ramai pihak berbanding sebelum ini," katanya.
Kasturi menambah bahawa Rahim memberi jaminan akan menggunakan pengalaman sebagai bekas ketua polis negara untuk mempercepatkan proses rundingan damai.
Jelasnya, Pulo mempunyai keyakinan tinggi pada Rahim dengan perkembangan yang ada ketika ini dan berharap beliau memberi komitmen dalam melancarkan proses rundingan itu.

