Annuar: Jika tak buat salah, ini peluang Azeez bersihkan nama
Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa menganggap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berpeluang membersihkan nama jika dibawa ke mahkamah.
Annuar juga menggesa agar pihak berkuasa memberi keadilan sewajarnya dalam siasatan kes yang melibatkan pemimpin Umno.
“Terdapat gambaran pemimpin Umno nak diburu, maka setiap orang dari kita berserah pada pihak berkuasa dan yang penting kalau kita tak lakukan kesalahan tak perlu apa kita bimbangkan.
“Kita harap semua pihak bagi keadilan yang sewajarnya dan bagi rakan-rakan dalam Umno, kita harap ini jadi satu peluang bersihkan nama,” katanya dalam sidang media di PWTC, hari ini.
Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Selain Azeez, abangnya Abdul Latiff dan saudaranya Mohamed Nazri turut direman dengan tempoh sama.
Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam Azeez, S Devanandan berkata ketiga-tiganya ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan Lembaga Tabung Haji.
Semalam jurucakap SPRM dipetik sebagai berkata bahawa penahanan mereka dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes menerima rasuah.
Sementara itu, Annuar berharap supaya siasatan yang dilakukan terhadap Azeez dijalankan mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.
“Maka kita harap apa yang nak dilakukan oleh kerajaan bukan berdasarkan pendakwaan terpilih selama mana rule of law dipatuhi.
“Umno sebagai sebuah parti tak boleh mencampuri mereka-mereka yang melalui proses penyiasatan atas proses individu,” katanya.
Sementara itu, Annuar ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak bersetuju dengan tindakan Umno memboikot Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berkata, pandangan itu merupakan pendapat peribadi bekas menteri pertahanan itu sendiri.
“Itu pandangan peribadinya, sebelum Hishammuddin buat kenyataan itu kita telah buat empat perjumpaan dengan kepimpinan Umno dan parti komponen untuk dengar pendapat semua ahli.
“Setelah perbincangan BN tak akan masuk campur dengan politik 'salin tikar' yang dijalankan Pakatan Harapan, ini tak selari dengan prinsip kita yang merasakan PRK itu satu pembaziran,” katanya.

