Afif harap pemilihan PKR Johor pada Ahad tak kecoh
Calon ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berharap agar pemilihan parti itu yang akan diadakan di Johor pada Ahad ini tidak berlaku kekecohan seperti terjadi di Kedah dan Pulau Pinang.
Afif berkata demikian susulan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata bahawa prestasi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) setakat ini memuaskan dan sistem undi elektronik (e-undi) akan dikekalkan.
"Walaupun Anwar berkata beliau puas hati, tetapi saya rasa dia pun berkata perlu memperbaiki keadaan. Isu ini seharus diselesaikan.
"Isunya bukan puas hati, baik atau tak baik. Paling mustahak ialah orang mempercayai integriti sistem yang dijunjung.
"Berdasarkan keputusan semalam, pengundian akan diteruskan di Johor pada Ahad. Kita akan lihat sama ada kesilapan itu diulangi atau tidak. Saya berharap tidak,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemilihan PKR 2018 bermula dengan beberapa kekecohan minggu lalu yang berlaku di beberapa pusat mengundi sehingga menyebabkan pengundian di empat negeri ditangguhkan.
Ramai anggota parti menyalahkan sistem undi elektronik dan mendakwa nama mereka hilang daripada data pengundi.
Sementara calon ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Afif sendiri menyalahkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan JPP.= atas insiden berkenaan.

