Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berdiam diri berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan awal hari ini yang memutuskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri boleh menyaman individu atas dakwaan fitnah.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Najib berkata sekiranya keputusan mahkamah itu dibuat ketika pentadbirannya, aktivis, NGO dan HARAPAN yang merupakan pembangkang ketika itu akan berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan mengecam keputusan itu.

"Malah, saya akan turut dipersalahkan oleh mereka, biarpun ia adalah keputusan mahkamah.

"Namun sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin HARAPAN mengulas tentang keputusan mahkamah hari ini yang bakal memberi kesan yang amat besar.

"Ini kerana kerajaan mempunyai dana dan tenaga guaman yang cukup besar bagi memfailkan saman fitnah kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai sumber dana kewangan dan guaman sebesar kerajaan untuk mempertahankan diri mereka," katanya.

Najib juga turut menyorot bahawa di negara seperti AS, United Kingdom dan Australia, undang-undang tidak membenarkan kerajaan negara berkenaan menyaman fitnah rakyatnya.

"Oleh itu, keputusan hari ini mungkin memberi ruang yang besar kepada kerajaan HARAPAN untuk mengancam hak bebas bersuara dan hak mengkritik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya.

Dalam perbicaraan hari ini, panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop menolak rayuan bekas anggota parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen.

Rayuan berkenaan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pihak berkuasa awam boleh menyaman seorang individu kerana fitnah. Mahkamah memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan menetapkan 3 Okt bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuching.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ia berpendapat bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa responden (kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa kewangan negeri) mempunyai hak untuk memfailkan saman dan mengambil tindakan menuntut ganti rugi terhadap perayu, Chong kerana fitnah.