Bekas Pengarah Seksyen K-Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Azizah Hamzah dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas RHB Bank, Ong Ai Lin diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Keselamatan Siber sempena Anugerah Keselamatan Siber Malaysia (MCSA) 2018, di sini malam ini.

Anugerah ini ialah sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan keselamatan siber di Malaysia selama lebih 10 tahun dan impaknya kepada negara dan tanah air.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith menyampaikan trofi dan sijil kepada kedua-dua penerima pada satu majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini.

Azizah memainkan peranan penting kerana beliau adalah “arkitek” utama dalam menggubal Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) yang merupakan antara yang pertama di dunia yang dilaksanakan pada 2005.

"Saya diberi mandat antara individu yang menggubal NCSP bermula dengan latihan dan konsultasi sehingga kepada fasa terakhir keupayaan negara membina polisi keselamatan siber sendiri.

"Ini sekali gus menjadikan Malaysia antara negara peneraju kepada siber sekuriti di rantau ini," kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, Lin yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam keselamatan maklumat telah membantu kerajaan dalam menubuhkan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (IT) dan Jabatan Audit IT.

"Ini adalah perjalanan yang panjang, saya bermula di United Kingdom dan salah seorang yang pertama melakukan Audit IT dalam Akauntan Bertauliah.

"Kemudian saya kembali pada lewat 80-an dan membantu menubuhkan Audit IT yang melibatkan keselamatan IT, risiko teknologi dan tadbir urus yang ketika itu masih tiada akses kepada Internet," kata beliau.

Anugerah MCSA diberikan sebagai pengiktirafan bagi inovasi, komitmen dan pimpinan industri serta sumbangan pemain industri untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat umum mengenai isu-isu keselamatan siber.

- Bernama