Steve Chan mahu wakili kepentingan umum rakyat
Stevie Chan Keng Leong, yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, mahu menjadi wakil rakyat yang mewakili rakyat keseluruhan dan bukan hanya terbatas di kerusi berkenaan sahaja.
Chan, 51, seorang personaliti media sosial, dalam kenyataannya hari ini, berkata ini kerana beliau percaya bahawa rakyat di negara ini telah mengundi untuk menolak keangkuhan, kesombongan politik, nepotisme, dan terutamanya ahli politik yang lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan rakyat.
“Saya berhasrat untuk menjadi suara bebas di Parlimen yang mewakili kepentingan umum rakyat dan bukan hanya di Port Dickson, tetapi juga Kota Kinabalu, Sabah, Kota Bahru, Kelantan, Kuala Terengganu, Terengganu dan seluruh Malaysia dan bebas daripada keperluan berpolitik, kepentingan khas dan sifat menjauhi kehendak rakyat,” katanya.
Beliau percaya sebagai Malaysia yang progresif, bebas daripada rasuah dan mendukung visi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, beliau menolak politik lama berkenaan.
"Memetik Tunku, yang menyatakan sebuah negara demokratik yang berdaulat dan berdikari, berasaskan prinsip kebebasan dan keadilan dan sentiasa mencari kesejahteraan dan kebahagiaan rakyatnya dan menjaga keamanan sejati di antara semua negara, saya ingin mewakili rakyat dalam menolak politik lama ini,” katanya.
Chan juga berkata beliau menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang mana isi kandungan dan nilainya harus dipertahankan oleh semua pihak dan menghormati demokrasi sekular negara dengan Islam sebagai agama rasmi.
“Saya juga memahami bahawa hak Bumiputera adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat miskin, terpinggir dan kurang bernasib baik seharusnya dilindungi dan dibantu tanpa mengira kaum atau agama selain berpendapat bahawa pendidikan adalah bentuk pelaburan yang terbaik untuk meningkatkan mobiliti sosial penduduk dan negara seharusnya menuju ke arah pendidikan percuma.
“Saya juga yakin bahawa tunjang asas masa depan negara yang makmur bergantung kepada keharmonian dan keamanan selain gejala rasuah mesti ditangani segera tanpa kompromi,” katanya.
PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu dua parti politik, PAS dan Parti Rakyat Malaysia, selain Chan untuk mengambil bahagian.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
- Bernama

