Paling Popular
Terkini

Susulan keputusan pemilihan Umno Jun lalu, pemerhati politik melihat Umno kemungkinan besar tidak akan berubah walaupun tewas dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpendapat anggotanya mempunyai kehendak berbeza, walaupun parti terus menawarkan pendekatan politik sama.

Beliau mengimbas pertandingan merebut jawatan presiden Umno yang dimenangi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu memangku tugas presiden.

Khairy berkata, berdasarkan undi popular, Zahid hanya mendapat 37,000 undi berbanding beliau dengan 32,000 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 20,000 undi.

Ini bermaksud, katanya, undi untuk perubahan adalah sebanyak 52,000 undi berbanding Zahid dengan hanya 37,000 undi.

“Ini menunjukkan bahawa akar umbi sedia untuk berubah.

“Mereka mungkin tidak faham apa saya kata, mereka mungkin tidak faham atau tidak setuju 100 peratus apa yang saya cuba beritahu kerana masih ramai yang fikir saya terlalu liberal.

“Tetapi mereka mahu berubah […]

“Jadi, memang mudah lihat Umno sebagai parti fosil yang tidak berubah, tetapi fikirkan juga tentang anggotanya, ahli biasa bersedia berubah.

“Saya rasa itu akan berlaku pada 2021 (pemilihan akan datang Umno),” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam perbincangan bertajuk “Arah Masa Depan Malaysia” bersama pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram di Kuala Lumpur.

Acara anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia itu dihadiri kira-kira 150 orang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS