Projek Umno bina KL PWTC berdepan masalah
Pelan menaik taraf bangunan ibu pejabat Umno sedia ada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur telah ditangguhkan, kata presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau memberitahu New Straits Times bahawa rundingan dengan pemaju projek itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) - yang 40 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja - sedang dijalankan.
“Projek itu ditangguhkan. Kita berpendapat dalam situasi ekonomi ketika ini, kita perlu terbuka dengan beberapa pilihan.
“Kita sudah berbincang dengan pemaju yang bercadang mencari rakan kongsi untuk meneruskan projek itu atau menjual saham mereka atau menjalin kerjasama dengan syarikat lain,” katanya.
Sempena sambutan ulang tahun ke-70 Umno pada tahun 2016, projek KL PWTC itu termasuk merobohkan Terminal Bas Putra. Ia akan digantikan dengan bangunan baru pejabat dan hotel bertaraf enam bintang yang mempunyai 250 bilik di menara setinggi 70 tingkat berkenaan.
Bangunan baru itu akan mempunyai 1.2 juta kaki persegi ruang dan turut menempatkan masjid yang boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa dan menempatkan podium beli-belah setinggi dua tingkat.
Selain itu, Pusat Dagangan Dunia Putra yang menempatkan ibu pejabat Umno juga akan dinaik taraf dengan pembinaan Dewan Putrade dan pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 yang bertaraf dunia.
Ia termasuk projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.
Upacara pecah tanah bangunan baharu itu disempurnakan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada November 2016.
Akhbar itu turut melaporkan adalah difahamkan, penangguhan projek itu ada kaitan dengan pembekuan akaun Umno oleh SPRM yang sedang menyiasat aliran dana 1MDB.
Pada Jumaat lalu, Umno memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara lain untuk menuntut RM116.7 juta milik parti itu yang didakwa disita Polis Diraja Malaysia (PDRM).

