Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kerajaan patut diberi hak menyaman – Hanipa

Tiada kerajaan patut diberikan hak untuk menyaman fitnah seseorang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Katanya, keputusan mahkamah Inggeris dalam kes Derbyshire adalah sangat kukuh dan patut disanjung tinggi.

Penghakiman kes itu, katanya, telah mencerminkan sifat undang-undang yang sebenar berkaitan fitnah, di samping hak rakyat untuk mengatakan sesuatu yang mungkin dilihat memfitnah kerajaan.

“Kerajaan tidak patut diberikan hak untuk menyaman fitnah,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Keputusan penting itu dibuat panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Ma'arop yang menolak permohonan anggota parlimen Kuching Chong Chieng Jen dalam kesnya dengan kerajaan Sarawak.

Panel hakim menyatakan prinsip Derbyshire (individu yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh menyaman, berdasarkan kes Derbyshire County melawan Times Newspapers Ltd di Britain pada 1993) tidak terpakai.

Ini, katanya, kerana wujudnya undang-undang sedia ada, termasuk Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

Mahkamah berkata, kerajaan memiliki reputasi dan boleh melindunginya melalui saman fitnah.

Pada 2012, kerajaan Sarawak memfailkan saman fitnah terhadap Chong - kini timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna - selepas beliau mengeluarkan kenyataan media yang dilaporkan beberapa organisasi berita, termasuk Malaysiakini dan Sin Chew Daily.

Mahkamah Rayuan pernah menggunakan prinsip Derbyshire sebanyak dua kali ketika menolak saman yang difailkan bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas menteri besar Pulau Pinang Lim Guan Eng, kedua-duanya terhadap media.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS