Parti Rakyat Malaysia (PRM) memilih seorang peniaga 42 tahun Ahmad Kamarudin sebagai calon pilihan raya kecil Port Dickson bagi melawan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut setiausaha agungnya Tan Kang Yap, , Ahmad merupakan pengerusi PRM cawangan Shah Alam dan mempunyai pengalaman politik sebagai Ketua Pemuda PKR Cabang Kapar (2011-14).

Beliau juga, kata Tan pernah menjadi pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Klang antara tahun 2009 hingga 2013.

Dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini berkata walaupun menolak sebab pilihan raya itu diadakan, beliau tetap turut serta bertanding bagi “meraikan demokrasi”.

’Bagi saya alasan pengosongan kerusi Parlimen port Dickson adalah hanya satu alasan yang lemah dan lebih kepada hanya untuk menghalalkan Anwar kembali ke Parlimen.

“Ini tindakan yang merugikan rakyat Port Dickson akibat budaya politik angkuh,” jelas beliau.

Sementara itu, Ahmad juga berkata mahu memperjuangkan nasib generasi kedua Felda di kawasan itu dengan menggesa kerajaan meneruskan projek perumahan Generasi Kedua yang terbengkalai selepas BN kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke parlimen.