Di NYC, Dr M jangka Umno bakal rebah
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan bahawa Umno - parti yang diterajuinya selama 22 tahun - bakal rebah.
"Umno sekarang berpecah, ia bakal rebah. Tidak ada masa depan buat Umno lagi kerana rakyat benci Umno.
"Ini sebabnya mereka begitu kuat menyokong pembangkang (pada pilihan raya umum lalu)," kata Mahathir, yang kini mengetuai gabungan Pakatan Harapan, menurut The Star Online.
Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan sama ada siasatan berterusan yang begitu lama terhadap pemimpin Umno akan mengakibatkan ketidak-stabilan politik di negara ini semasa pertemuan dengan Majlis Amerika Syarikat Mengenai Hubungan Antarabnagsa di New York.
Menjawap soalan mengenai rasuah dalam Umno, Mahathir berkata: "Dia (bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak) merosakkan kepimpinan parti dan juga akar umbi kerana memberi mereka wang.
"Jadi mereka menyokongnya kerana sesetengah mereka selesa dengan adanya banyak wang."
Umno menuju kejatuhan - Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan parti Umno, sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.
Berucap pada satu majlis di sini, Rabu, Perdana Menteri Malaysia itu berkata ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan Umno kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Umno kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk Umno kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan Umno,” katanya pada mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat.
Dr Mahathir berkata, Najib telah melemahkan kepimpinan dan malahan kedudukan dan rekod parti kerana pengaruh wang.
Jentera pentadbiran juga menjadi lemah, katanya
"Beliau menggunakan jentera pentadbiran untuk partinya, berkempen untuk partinya. Itu sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka. Sudah semestinya mereka patut menerima arahan daripada kerajaan yang dipilih tetapi bukan untuk berkempen untuk parti. Itu bukan tugas mereka.
"Dan sekarang ini saya pula menghadapi masalah untuk mengeluarkan mereka ini, yang masih setia kepadanya,” kata Dr Mahathir.
Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, akan menggantikan beliau selepas satu tempoh masa seperti janji yang dipersetujui apabila membentuk gabungan Pakatan Harapan.
"Orang ramai mulai dapat menyesuaikan diri dengan idea bahawa Perdana Menteri juga perlu diubah. Saya berada di sana selama 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) sehinggakan orang ramai berfikiran ia tidak akan berubah.
"Tetapi kini mereka melihat beberapa Perdana Menteri telah berubah, jadi jika beliau mengambilalih, ia hanyalah satu perubahan,” kata Dr Mahathir dan menambah bahawa menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri adalah juga janji beliau.

