Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) terkini mendedahkan sentimen syarikat yang agak sederhana terhadap prestasi perniagaan dan prospek permintaan dalam tempoh enam bulan akan datang susulan perang perdagangan yang meningkat dan tempoh peralihan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kajian itu memaklumkan indeks korporat berada pada 55.7 manakala indeks perusahaan kecil dan sederhana pada 53.5 – terdapat peningkatan, namun ketinggalan di belakang rakan korporatnya.
“Walaupun masih dalam keadaan positif, indeks korporat merosot 1.1 mata untuk kajian suku ketiga-suku keempat 2018,” menurut agensi penarafan itu hari ini.
Kajian itu juga memaklumkan firma yang mendapat lebih pendedahan kepada ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China didapati kurang optimis.
“Indeks korporat berorientasikan eksport menyusut sejak tahun lepas dan trend itu konsisten dengan pertumbuhan eksport yang agak perlahan setakat ini, susulan pemulihan pada tahun lepas,” katanya.
Mengenai SST, Ram Ratings berkata selain prospek luaran, tempoh peralihan pengembalian semula cukai mempengaruh jangkaan terhadap permintaan dan keuntungan pada masa hadapan kerana perolehan korporat dan keuntungan sub-indeks, masing-masing menurun 9.9 mata dan 10.3 mata kepada 50.8 dan 49.5.
Melangkah ke hadapan, agensi itu berkata ketidaktentuan ekonomi untuk jangka masa pendek akan kekal, terutama akibat kesan perang perdagangan berterusan antara AS-China serta kesan pusingan kedua dalam sektor domestik.
“Panduan untuk dasar ekonomi pada masa hadapan yang membentuk persekitaran perniagaan secara keseluruhannya penting untuk meyakinkan firma-firma ini dan membantu memacu aktiviti ekonomi yang mampan,” katanya.
- Bernama
