Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengatakan dirinya masih sihat selepas menjalani pembedahan di Singapura, Julai lalu.

Anggota Parlimen Pagoh itu yang hadir dengan memakai sut lengkap berwarna maroon kelihatan sedikit kurus namun tetap ceria sebelum mengetuai sidang media hari ini.

Ini merupakan penampilan sulung Muhyiddin dalam sidang media selepas kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.

Muhyiddin berkata beliau mampu menjalankan tugas walaupun mempunyai masalah kesihatan.

“Saya datang ke sini (sidang media), sudah tentu ingin menunjukkan kepada anda bahawa saya masih hidup dan sihat.

"Tetapi untuk berlaku adil saya merasakan lebih baik setiap hari, sementara saya pergi ke fasa kedua rawatan kemoterapi," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat BERSATU hari ini.

Muhyiddin bercuti sejak 12 Julai lepas bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Bekas timbalan perdana menteri itu dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 7 Ogos lepas.

Beliau selepas itu menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi bagi memastikan masalah ketumbuhannya tidak berulang.

Menurut Muhyiddin, beliau kini telah memulakan tugas sebagai menteri Dalam Negeri, malah menghadiri mesyuarat kabinet semalam walaupun pergerakannya masih terbatas. 

"Saya pergi ke mesyuarat kabinet semalam kerana saya tidak boleh duduk di rumah sahaja, saya mahu lakukan sesuatu.

“Saya juga sudah bermesyuarat dengan pegawai-pegawai saya di kementerian, di rumah.

"Kerja sudah berjalan namun ia masih terhad,” katanya.

Enam ahli BERSATU diambil tindakan

Sementara itu, dalam sidang media tersebut, Muhyiddin turut memaklumkan enam ahli BERSATU diambil tindakan termasuk seorang ahli dari Negeri Sembilan dipecat serta merta dari parti.

“Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang, Mohd Norhisyam Abdul Karim digantung setahun bermula ogos dan dua amaran keras. Timbalannnya Shamsul Anuar Khairi diberi satu amaran keras.

“Setiausahanya, Abdul Razak Zubir digantung setahun dan diberi amaran keras. Ketua Penerangannya Azrul Faiesal Abdullah digantung keahlian setahun.

“Manakala, ahli jawatankuasa bahagian BERSATU di Putrajaya Mohd Nurhalis Shafiq Shamsuri turut digantung selama setahun,” katanya.