Seorang pengundi Port Dickson mencabar keputusan Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi parlimen itu dan pilihan raya kecil yang akan diadakan bulan depan.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam oleh tetuan Raja Riza and Associates.

Rosmadi Mohd Kassim, 56, menamakan Danyal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Rosmadi memohon kebenaran untuk mengisytiharkan peletakan jawatan Danyal tidak sah dan terbatal.

Dia juga memohon kebenaran certiorari untuk membatalkan notis SPR pada 20 September supaya pilihan raya kecil diadakan.

Rosmadi juga menuntut pengisytiharan bahawa keputusan SPR mengumumkan kerusi itu kosong sebagai bertentangan dengan undang-undang.

Dia juga memohon perintah injunksi untuk menghalang SPR mengadakan pilihan raya 13 Oktober depan.

Pendengaran kes itu ditetapkan pada 2 Oktober.

[Baca berita asal]