Umno kini kerajaan menunggu, kata Tok Mat
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli-ahli Umno mesti menganggap parti itu dalam kedudukan government in waiting (kerajaan menunggu) dan bukan sekadar menjadi pembangkang.
Mohamad berkata oleh sebab itu mereka tidak boleh patah semangat sebaliknya bangkit daripada kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
“Ini disebabkan keadaan politik hari ini tidak menentu. Kerajaan yang sedia ada hari ini boleh dianggap sebagai hang parliament, di mana tidak ada satu parti yang betul-betul mendapat majoriti untuk mentadbir negara.
“Dan saya tak selalu anggap Umno ini sebagai pembangkang.
"Kita mesti anggap Umno adalah government in waiting. Kita ini adalah pesaing kepada kerajaan dan kita mesti bersaing," katanya seperti dilapor portal Umno Online.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika dijemput menjadi ahli panel dalam program diskusi khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2018.
Mohamad atau lebih mesra dengan gelaran 'Tok Mat' di kalangan ahli parti Melayu itu berkata Umno memerlukan dua teras utama iaitu untuk memperkasa parti dan mengatur strategi bagi memenangi pilihan raya umum ke-15.
"Untuk memperkasakan parti, ia mesti ada unjuran untuk membina semangat ahli agar dapat menarik orang ramai kembali bersama kita.
“Manakala untuk memenangi PRU ke-15 nanti, kita mesti buat aktiviti dan strategi yang lain, sebagai contohnya kita membuat bajet bayangan kita pada bulan 10 ini untuk menyaingi bajet yang dibentangkan oleh kerajaan,” jelasnya.
'Takkan baru kalah sekali dah 'lomau'
Justeru itu Mohamad menyeru anggota parti itu agar tidak putus harapan dengan kekalahan parti itu yang berlaku pertama kali dalam sejarah.
Menurutnya, Umno telah memenangi pilihan raya umum sebanyak 13 kali dan mempunyai rekod yang baik sepanjang 61 tahun menjadi kerajaan.
"Sebanyak 14 kali pilihan raya, kita menang 13 kali dan baru kali ini kita kalah. Takkanlah baru kalah sekali kita sudah monyok, bak kata orang negeri Sembilan, lomau (lemau).
"Jika mahu dibandingkan dengan pihak pembangkang yang sudah 13 kali kalah, baru sekali saja menang pada PRU (pilihan raya umum) ke 14 baru ini.
“Jadi, ahli-ahli Umno jangan putus harapan. Kita sudah ada sejarah, kita sudah ada track record dan kita ada pemikir-pemikir di dalam parti.
"Apa yang penting sekarang macam mana kita nak kumpulkan semula kekuatan dan bagaimana kita mahu mengagihkan tugas dan peranan masing-masing,” ujarnya
Perhimpunan Agung Umno kali ke-72 dijadual berlangsung esok dan ia merupakan kali pertama perhimpunan itu diadakan dalam keadaan Umno kini menjadi sebuah parti pembangkang.

