Kerajaan perpaduan antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Umno tidak relevan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tiada cadangan sedemikian dan oleh sebab itu pada fikiran saya ia tidak relevan untuk dibincang.

"Tidak kita bincang, tak dikemukakan. Sekarang keputusan kita adalah kekal dengan Pakatan Harapan," kata Anwar kepada wartawan.

Anwar mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang dilapor berkata parti itu terbuka untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti dalam HARAPAN.

Zahid berkata pihaknya juga terbuka untuk melihat perkara itu berlaku sama ada sebelum atau selepas Anwar menjadi perdana menteri.

Anwar bagaimanapun berkata parti-parti dalam HARAPAN mengambil pendirian untuk tetap bersama dalam sebuah gabungan.

Mengenai kemungkinan PAS meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Anwar berkata: "ia adalah demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding".

PRK itu diadakan untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen, sebagai sebahagian rancangan awal untuk mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia mencetuskan kemungkinan kerjasama antara Umno dan parti dalam HARAPAN selepas Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata beliau akan berkempen untuk Anwar pada pilihan raya kecil itu.

Umno tidak akan bertanding di Port Dickson.

Hari penamaan calon bagi PRK ini ditetapkan Ahad ini, manakala hari mengundi akan diadakan pada 13 Okt.