Timb menteri sambut baik kabinet bayangan BN meski tanpa PAS
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Dr Md Farid Md Rafik mengalu-alukan pembentukan kabinet bayangan yang diumumkan BN semalam.
Menurutnya meskipun kabinet bayangan tersebut tidak mewakili suara pembangkang kerana ketiadaan PAS, namun pembentukannya dapat memastikan proses semak dan imbang dalam kerajaan berjalan lancar.
"Saya percaya bahawa kabinet bayangan yang diumumkan semalam bukanlah benar-benar mewakili semangat dan suara barisan pembangkang secara keseluruhan memandangkan ia tidak melibatkan penyertaan daripada PAS dan beberapa ahli pembangkang yang lain.
"Walaupun begitu saya melihat ia berada di landasan yang tepat dalam memastikan 'semak dan imbang' itu berlaku kepada kerajaan sedia ada dan sebagai satu langkah pemerkasaan institusi parlimen.
"Ini selari dengan hasrat dan agenda 'reform' atau perubahan yang di bawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam BN mengumumkan pembentukan kabinet bayangan bagi memantau perjalanan setiap kementerian dalam kerajaan HARAPAN.
Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu bagi memastikan pembangkang menjadi jurusemak dan imbang dalam kerajaan baru.
Menurut Md Farid beliau percaya kabinet bayangan yang dibentuk BN dapat memastikan isu-isu yang berbangkit ditangani dengan lebih objektif dan menyeluruh.
"Kami di barisan kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia untuk mendengar sebarang saranan dan cadangan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan polisi benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.

