Paling Popular
Terkini

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata idea gabungan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Umno tidak pernah dibincangkan oleh pemimpin HARAPAN.

Sebaliknya, kata Gobind, ia hanyalah idea Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Itu apa yang dia (Zahid) sebut, tetapi setakat mana yang saya tahu dalam HARAPAN tidak ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Zahid melalui laporan New Straits Times, hari ini berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa.

Jelas Zahid, ia dapat dilakukan dengan membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen HARAPAN "tidak lama lagi".

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan BN untuk memboikot pilihan raya kecil Port Dickson ada kaitan dengan usaha menjalin perikatan dengan PKR atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut Zahid, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan sama ada sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Gobind bagaimanapun menegaskan tidak akan ada kerjasama seperti yang dikatakan Zahid.

“Pada saya, saya boleh sebut bagi pihak DAP kita tidak akan bekerjasama dengan Umno sama sekali dan kita tidak akan bekerja dengan mereka.

“Saya rasa Dr Mahathir pun dah sebut dengan cukup jelas dan kita mendukung pendirian itu,” tegasnya.

[Laporan penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS