Ismail: Umno tak akan bantu calon PAS di PRK Port Dickson
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata partinya tidak akan membantu kempen calon PAS mahupun anggota Umno yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan 13 Okt depan.
Ini kerana, katanya, Umno sudah membuat keputusan untuk memboikot PRK berkenaan.
“PAS pun faham bila kita kata kita boikot, maknanya kita boikot keseluruhan pilihan raya itu. Kalau ada kalangan orang Umno yang tiba-tiba nak bertanding bebas, kita juga tak akan sokong.
“Maknanya bukan sahaja PAS kita tak akan bantu, termasuklah sesiapa sahaja calon bebas di kalangan ahli Umno yang tidak puas hati dan mahu bertanding, kita tak akan sokong. Kita tidak akan terbabit dengan pilihan raya itu langsung,” katanya dipetik FMT.
BN sebelum ini telah mengumumkan tidak akan meletakkan calon di PRK Port Dickson. Bagaimanapun, dalam perkembangan sama, hari ini, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas dan akan mengadakan sidang media berhubung perkara itu.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan akan meletakkan calon "yang sepadan" untuk mencabar calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga telah mengumumkan akan meletakkan calon di PRK itu. Seorang lagi calon Bebas yang turut akan bertanding adalah personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong.
Penamaan calon PRK Port Dickson akan diadakan pada 29 Sept ini.

