PRK PD | Tindakan Tan Sri Mohd Isa Samad mengumumkan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson boleh mengakibatkannya dipecat daripada Umno, kata salah seorang anggota majlis tertinggi parti itu.

Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tindakan pemecatan boleh dibuat berdasarkan perlembagaan parti dan terpakai kepada semua ahli tanpa mengira kedudukan dan jawatan.

"Pertama, kita ucapkan selamat berjaya kepada Tan Sri Isa jika betul beliau hendak bertanding dalam PRK Port Dickson.

"Ia mungkin keputusan peribadi beliau dan tidak ada kena mengena dengan parti. Akan tetapi mana-mana ahli yang menjadi calon bebas, secara automatik keahliannya terlucut. Itu memang dalam perlembagaan," katanya sebelum menghadiri mesyuarat khas MKT Umno di Menara Dato Onn, malam ini.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pucuk kepemimpinan parti dan Lembaga Disiplin Umno.

"Tetapi, kini Umno sudah kalah dan jadi pembangkang, mungkin parti berubah pendekatan, kita tidak tahu. Terpulang kepada kepada keputusan pucuk pimpinan menentukan kedudukan Mohd Isa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mohd Isa yang dilaporkan mahu bertanding atas tiket bebas dalam PRK itu.

Mohd Isa hari ini dilaporkan berkata, keputusan bertanding atas tiket bebas dibuat selepas Umno membuat keputusan memboikot PRK berkenaan dengan tidak meletakkan calon.

Untuk rekod, Mohd Isa mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai tahun 1982 sehingga 2004.

Beliau juga pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang dalam PRK pada tahun 2009.

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini.