Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sejak Mei, pegawai SPRM kerja tujuh hari seminggu siasat 1MDB'
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 2:37 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditugaskan dalam siasatan 1MDB telah bekerja tanpa henti sejak empat bulan lalu, kata Ketua Pengarah SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Ia menunjukkan tenaga kerja SPRM yang yang tidak memadai berbanding tugas yang dipikul mereka, kata Shukri dalam wawancara bersama Radio Bernama dan MACC FM hari ini.

Beliau berkata, ketika penyiasatan 1MDB dibuka semula Mei lalu, pegawai SPRM telah bekerja selama tujuh hari seminggu, termasuk ketika bulan puasa dan cuti umum.

"Ramai orang ingat kita ada ramai pegawai penyiasat, kerana operasi SPRM dilaporkan hampir setiap hari.

"Tetapi hakikatnya jumlah penyiasat yang kita ada tidak sampai 500.

"Contoh yang mungkin ramai boleh lihat adalah siasatan 1MDB. Pegawai saya dalam kes ini telah bekerja selama empat bulan, sejak Ramadan hingga hari ini. Tujuh hari seminggu tanpa henti," katanya lagi.

Beliau berbangga dengan dedikasi yang ditunjukkan pegawai SPRM, dan berkata pihaknya menghargai keputusan kerajaan yang memberi kelulusan untuk mengambil 500 lagi pegawai untuk lima tahun akan datang.

"Saya harap proses ini boleh dipercepatkan," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau berharap kerajaan akan memberi peruntukan kepada mereka untuk membeli peralatan teknikal bagi menggantikan peralatan sedia ada yang sudah lama yang perlu bagi "melawan perasuah yang licik".

Lihat Komen
ADS