Padah melakukan khianat di atas jalan raya dengan memecahkan cermin sisi sebuah kereta, seorang lelaki dikenakan hukuman denda RM1,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Balik Pulau hari ini.

Muhamad Amir Muaz Ismail, 30, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan operator kilang itu didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sisi kiri kereta Toyota Camry milik Lye Sein Tatt, di Bulatan Bayan Indah, Queensbay pada jam 6.50 petang, Isnin lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Terdahulu peguam Edmund Antony Herman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum atas alasan Muhamad Amir Muaz perlu menyara ibu dan isterinya.

"Ketika kejadian tertuduh berang selepas dilabel sebagai gangster. Tertuduh telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya. Selain itu tertuduh juga tiada rekod jenayah lampau, " katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Pang Meng Tuck.

- Bernama