Seorang pengemis warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penderaan terhadap dua anak saudaranya sehingga cedera.

Remaja perempuan berusia 19 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib semasa sebutan kes itu dan mahkamah menetapkan 1 Nov untuk menjatuhkan hukuman dan penyediaan fakta kes.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan penderaan kepada seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia sembilan dan lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah setinggan Kampung Chubadak Tambahan Sentul Pasar, Sentul di sini antara 9 pagi dan 12 tengah malam, antara Jan 2018 dan 17 Julai lepas.

Wanita itu yang mempunyai dua anak didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama