Pengarang buku bertajuk 1MDB - The Scandal That Brought Down a Government (1MDB- Skandal Yang Menjatuhkan Sebuah Kerajaan) akan berada di Universiti Malaya esok bagi membicarakan buku berkenaan. 

Buku berkenaan yang ditulis oleh kolumnis Malaysiakini yang juga bekas pengarang Kinibiz, P Gunasegaram merupakan cetakan kali kedua selepas dilancarkan pada 28 Ogos lalu.

Ia membawakan kepada pembaca mengenai garis masa bagaimana skandal kewangan yang menggemparkan seluruh dunia itu meletus.

Selain itu buku itu juga mendokumentasikan penipuan berbelit-belit dana 1MDB, yang akhirnya menyaksikan kejatuhan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pelancaran buku itu akan berlangsung pada pukul 10.30 pagi esok di Dewan Kuliah Keempat Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM).

Profesor politik dan ekonomi, Terence Gomez dan Gunasegaram akan berucap pada majlis pelancaran itu yang akan diikuti dengan sesi perbicangan kemudiannya.

Buku ini boleh didapati di kebanyakan kedai buku dan dijual dengan harga RM60 seunit.