Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas harap kajian semula yang adil terhadap operasinya
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 5:03 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Lynas Corporation Australia, yang mengoperasikan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, komited kepada Malaysia dan berharap kajian semula yang adil terhadap operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Amanda Lacaze.

Beliau berkata, Lynas mengakui hak mutlak kerajaan untuk mengkaji semula bagaimanapun pihaknya mengharapkan mana-mana penilaian terhadap operasi Lynas perlulah adil, saintifik dan mematuhi proses sewajarnya, menepati usaha terkini kerajaan baharu.

“Kami akan amat kecewa sekiranya semua itu tidak direalisasikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Lynas Malaysia Sdn Bhd, bagi mengulas laporan media tempatan mengenai cadangan pasukan penilaian tersebut.

Sebelum ini dilaporkan bahawa jawatankuasa penilaian Lynas telah ditubuhkan, dan anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah dilantik sebagai pengerusi selama tiga bulan berkuat kuasa 24 Sept.

Lacaze berkata, Lynas komited untuk meneruskan operasi kilang bahan berkelas dunia di Gebeng itu yang selamat bagi masyarakat tempatan.

Malah, pemantauan dan pelaporan bebas membuktikan bahawa Lynas adalah selamat bagi penduduk tempatan, pekerja dan alam sekitar, katanya.

“Lynas telah mematuhi semua keperluan pengawalseliaan berkaitan mengikut undang-undang Malaysia dalam melabur untuk pembinaan dan pengoperasian​​​​​ Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

“Menerusi Lynas, Malaysia menjadi pusat kecemerlangan utama nadir bumi di luar China, membekalkan bahan penting kepada pengeluar automotif dan teknologi tinggi di seluruh dunia.

“Kami menunggu pemberitahuan rasmi mengenai cadangan kajian semua itu dan akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia secara adil dan telus,” katanya.

Mengulas kenyataan yang dibuat mengenai syarikat itu dalam artikel media baru-baru ini, beliau menekankan bahawa keselamatan masyarakat tempatan, pekerja dan alam sekitar merupakan keutamaan tertinggi dan ia dibuktikan dengan memastikan pematuhan terhadap syarat lesen dan piawaian antarabangsa.

“Prestasi kami dalam mengoperasikan kilang pemprosesan kimia selamat dan berkelas dunia dibuktikan melalui pensijilan antarabangsa termasuk piawaian ISO Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar,” jelasnya.

Lacaze berkata, syarikat itu telah memperoleh kepercayaan masyarakat tempatan selepas enam tahun operasi yang selamat.

“Terdapat radioaktiviti pada paras rendah berlaku secara semula jadi dalam bahan yang kami proses dan kami dapat menguruskan penggunaan dan penyimpanannya secara teliti untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan warga kami dan masyarakat setempat," katanya.

Sejak 2012, pengukuran radiasi telah dijalankan di tapak yang terletak satu, lima, 10 dan 20 kilometer dari kilang, yang menunjukkan tiada perubahan dapat dilihat pada keseluruhan bacaan radiasi latar belakang.

Lacaze berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, organisasi bebas berasaskan saintifik, turut menyatakan bahawa operasi Lynas adalah “risiko rendah secara intrinsik”.

Menurut beliau, lesen pengoperasian LAMP secara konsisten menegaskan bahawa aturan keutamaan dalam menguruskan sisa adalah pengkomersialan, atau jika pengkomersialan gagal, maka penstoran kekal, dan jika gagal, penyingkiran dari Malaysia perlu dilaksanakan.

Lacaze berkata, Lynas telah memberi sumbangan besar kepada rakyat dan ekonomi Kuantan dengan menyediakan tempat kerja yang selamat kepada 631 pekerja di LAMP, 97 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia.

"Termasuk kontraktor dan pembekal utama, kami telah mewujudkan atau menyumbang kepada penawaran beribu pekerjaan di kawasan setempat.

“Kami memperuntukkan lebih RM500 juta di Malaysia setiap tahun, sebahagian besarnya untuk kawasan pantai timur,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS