Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah merekodkan lebih 70 keterangan berhubung 1MDB, termasuk dua daripada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata polis juga akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tidak lama lagi. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.

"Kami telah merekodkan sekitar 70 keterangan dan kami akan memanggil Datuk Seri Najib tidak lama lagi," kata Amar dalam sidang akhbar di Menara 238, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Rosmah akan diminta untuk mengesahkan barang kemas yang disita miliknya.

"Ya, kita akan panggil Rosmah," tambah Amar ketika diminta mengesahkan kenyataan Noor Rashid.

Berkenaan dua keterangan Arul, Amar berkata polis telah merekodkan kenyataan daripada beliau semalam. Bagaimanapun, Amar tidak menyebut bila soal siasat lain akan dilakukan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan polis telah menyoal siasat Arul selama lima jam.

Beliau dipercayai ditanya mengenai siri ceramah mengenai 1MDB yang diadakan sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Najib minggu lepas didakwa atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salahguna kuasa membabitkan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadinya, yang didakwa oleh pendakwaraya diseleweng daripada dana 1MDB.

Di samping itu, bekas perdana menteri itu didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa serta tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.