PRK PD | Strategi PAS untuk meletakkan bekas tentera udara di Port Dickson tidak akan menjadi ancaman kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya (PRK) Port Dickson, kata penganalisis politik Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata presiden PKR itu mempunyai tarikan yang kuat apatah lagi dengan prospek sebagai pengganti Tun Dr Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

"Tak kira siapa bertanding, sama ada askar atau tidak.

"Tarikan kepada Anwar sangat kuat. Saya fikir undi tentera nanti banyak akan pergi kepada Anwar berbanding calon lain," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) Universiti Utara Malaysia itu berkata, banyak pilihan raya sebelum ini telah menunjukkan strategi meletakkan bekas tentera untuk menarik undi tentera tidak semestinya berkesan.

Beliau membangkitkan pesara tentera Mejar Abdul Hamid yang menjadi calon BERSATU di DUN Tanjung Dawai di Kedah yang gagal menarik undi tentera yang cukup dan tewas kepada calon PAS.

"(Strategi PAS) Tak beri kesan sangat kepada Anwar.

"Orang mahukan calon perdana menteri. Itu lagi menarik berbanding mana-mana calon atau pesara tentera entah dari mana," katanya lagi.

Semalam, PAS akhirnya mengumumkan calon parti itu iaitu Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (kiri).

Kawasan Parlimen yang menempatkan ramai pengundi tentera itu dikosongkan awal bulan ini selepas Datuk Danyal Balagopal Abdullah
berundur bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Pada PRU ke-14, Danyal - juga seorang pesara tentera laut - menang dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon BN Datuk Mogan Velayatham (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Berhubung pengumuman bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad untuk turut bertanding, Azizuddin berkata ia hanya akan memecahkan undi pembangkang.

Menurutnya, walaupun Isa mampu menarik sejumlah sokongan terutama di kalangan veteran Umno, beliau masih dilihat tidak mampu menewaskan Anwar.

"Isunya sama ada Anwar mampu memang besar atau tidak.

"Tetapi jika undi pembangkang pecah dengan persaingan banyak penjuru, majoriti untuk Anwar mungkin lebih besar," katanya lagi.

Selain tiga calon itu, PRK Port Dickson juga mungkin menyaksikan seorang calon Bebas iaitu Stevie Chan.