Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyangkal dakwaan ada pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang hadir ke perhimpunan agung Umno (PAU) diancam ditarik balik biasiswa mereka.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, Maszlee berkata semakan kementeriannya mendapati tiada kes sedimikian.

"Saya sentiasa menggalakkan kebebasan bersuara mahasiswa. Perkara ini terus dijamin selari dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya terbuka kepada penglibatan mana-mana penuntut yang berminat dalam perhimpunan mana-mana parti politik. Satu perkara yang tidak dibenarkan IPTA adalah menggunakan kemudahan universiti seperti bas untuk menghadirinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, laman Umno Online mendakwa sebahagian daripada 69 pelajar dalam dan luar negara yang berkumpul di PWTC sejak semalam bagi menyertai PAU, terpaksa pulang kerana ditekan biasiswa mereka bakal ditarik jika tetap menghadirinya.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata jika dakwaan itu benar, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah pun dipinda bagi membenarkan pelajar berpolitik.

Dakwaan itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meminta Annuar memberikan maklumat tentang perkara itu kepadanya.

"Mohon beri penjelasan siapa mereka supaya saya boleh pertahankan (pelajar terbabit).

"Saya sendiri akan beri jaminan bahawa hak mereka akan saya pertahankan. Mahasiswa berhak untuk begiat aktif dalam politik walaupun mereka Pro-Umno," katanya lagi.