PAU 2018 | Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini berucap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2018.

Dalam ucapannya, Mohamad mengingatkan anggota Umno bahawa parti itu tidak akan sentiasa menang dan tidak selama-lamanya kuat.

"Kita tidak akan sentiasa menang hingga seribu tahun. Kita tidak akan kuat selama ada bulan dan bintang," katanya mengulas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Ucapan tersebut ternyata berbeza sama sekali dengan ucapan dasar presiden oleh bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada bulan Disember tahun lalu.

Dalam ucapannya, Najib berkata "Kalau sebeginilah petanda dan semangat yang dizahirkan orang Umno, saya yakin dan penuh percaya bahawa Umno akan terus hidup memimpin bukan sekadar 30 tahun mendatang, malah bagi tempoh 1,000 tahun lagi".

Mohamad yang tidak menyebut nama Najib dalam ucapannya berkata Umno telah kehilangan kuasa kerana tidak lagi berjuang untuk orang Melayu tetapi "demi survival beberapa tokoh tertentu".

"(Perjuangan Umno) Bukan lagi tentang bahasa Melayu, bukan lagi kebolehsaingan Melayu atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. Bukan lagi sistem politik matang dan baik, bukan kepimpinan yang amanah pada perjuangan bangsanya.

"Tetapi, yang diperjuangkan ialah ‘survival’ tokoh tertentu yang mampu memberikan segala macam imbuhan, kontrak dan projek.

"Bukan lagi wadah gerakan massa bangsa Melayu yang jujur," kata Mohamad.

Ini merupakan perhimpunan agung Umno yang pertama sebagai parti pembangkang berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum 9 Mei.

Dalam usaha untuk memulihkan parti itu, Mohamad berkata Umno mesti dibina semula dengan nilai dan moral.

"Umno mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa," katanya yang mesra dengan gelaran 'Tok Mat' itu.

'Ayam tak berkokok hari tetap siang'

Mohamad berkata semakin lama Umno menangguhkan "pelan pencerahan" untuk parti itu, semakin ramai yang akan kehilangan keyakinan kepadanya.

"Lihat sahaja kebelakangan ini, ramai yang telah memilih untuk meninggalkan wadah perjuangan parti ini.

"Bak kata bidalan orang Negeri Sembilan, dua tiga ekor ayam tak berkokok, hari akan tetap siang juga. Kepada mereka yang meninggalkan perjuangan ini, kita ucapkan selamat maju jaya," katanya.

Menurut Mohamad anggota Umno harus memilih sama ada mahu meneruskan perjuangan parti itu atau membiarkan ia luput daripada persada politik Malaysia.

"Saya memilih untuk meneruskan hayat Umno. Bukan itu sahaja, saya berikrar membangunkan kembali dan menjadikan Umnno lebih baik, Umno yang lebih moden.

"Umno yang lebih maju, Umno yang benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bukan parti untuk politik naungan bagi bangsa Melayu," katanya.

Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan membahaskan ucapan Mohamad esok.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapannya malam esok dan akan dibahaskan pada Ahad.