Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 yang berlangsung pada hari ini sehingga 30 September merupakan kali pertama diadakan dalam keadaan Umno kini menjadi sebuah parti pembangkang.

Oleh itu suasana PAU kali ini dilihat agak berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya ketika Umno menjadi sebuah parti dalam kerajaan.

Misalnya, perhimpunan tahunan parti Melayu itu kini hanya menggunakan khidmat anggota keselamatan yang disediakan pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Umno sendiri.

Menurut Ketua Pengawai Eksekutif PWTC, Zalidi Rahim, seramai 250 anggota keselamatan disediakan pihaknya dan parti itu untuk mengawal keselamatan di dalam dan luar kawasan PWTC.

"Tidak ada bantuan daripada pihak berkuasa, PDRM, bomba dan lain-lain agensi. Jadi security pada tahun ini disediakan oleh pihak PWTC sendiri.

"Jadi kami menggunakan lebih kurang 250 anggota termasuk yang disediakan oleh Umno," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun pihaknya difahamkan anggota polis akan memantau keselamatan di luar kawasan bangunan milik Umno itu.

"Jadi pemantauan di luar kawasan PWTC adalah dibuat oleh pihak berkuasa. Bukan tak ada (polis), ada tapi di luar kawasan," jelas beliau.

Pada tahun lalu, seramai 1,200 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keselamatan ketika perhimpunan itu berlangsung.

Selain aspek keselamatan, tempoh berlangsungnya PAU 2018 juga dipendekkan selama tiga hari - tidak seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu selama lima hari.

Sementara itu, Zalidi berkata permintaan bagi gerai jualan juga mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada peniaga.

Namun katanya pengurusan PWTC tidak dapat menyediakan lot gerai jualan yang banyak seperti tahun-tahun lalu memandangkan dewan-dewan lain digunakan untuk perwakilan Umno.

Sebanyak 102 buah gerai jualan disediakan sepanjang PAU 2018 berlangsung.