PAU 2018 | Umno kini perlu beralih daripada slogan hidup Melayu dan bergerak bagi memajukan orang Melayu, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Kita mesti jelas. Membangunkan semula Umno tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja.
"Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat ‘Hidup Melayu’. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ia dipimpin oleh Umno
"Kita mesti boleh mengungkap cara bagaimana kita akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu," katanya ketika berucap merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Ini merupakan sebahagian daripada 'blueprint' Umno 2030 bagi memulihkan keyakinan Melayu dalam parti itu, kata Mohamad.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad juga menyeru parti itu untuk mencetuskan "kebangkitan Melayu baru".
"Umno harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa ia, Umno, akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu," ujarnya.
Beliau menambah Umno juga mesti mempunyai pendirian mengenai pelbagai isu seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pendidikan, ekonomi, hal ehwal antarabangsa dan perdagangan, serta dasar awam.
UEC adalah sijil untuk sekolah persendirian Cina yang dipersetujui oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Umno sebelum ini menentang pengiktirafan UEC kerana ia tidak memasukkan Bahasa Melayu dan sejarah dalam peperiksaan berkenaan.
Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan membahaskan ucapan Mohamad esok.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapannya malam esok, yang akan dibahaskan pada hari berikutnya.
