Pelaksanaan Program 'Trim and Fit' sejak dua tahun lalu berjaya mengurangkan peratusan anggota Polis Pahang yang mengalami masalah obesiti sebanyak 20 peratus.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata setakat bulan lalu, hanya sekitar 10 peratus daripada hampir 5,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini yang masih mengalami masalah obesiti.

"Program ini bukan hanya melibatkan aktiviti senamrobik dua kali seminggu, tetapi juga ceramah penjagaan kesihatan, penerangan bahaya penyakit kronik akibat obesiti dan pemakanan seimbang.

"Statistik kami juga menunjukkan terdapat penurunan kadar kematian anggota akibat penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis selepas program ini dilaksanakan," katanya.

Rosli berkata demikian selepas melancarkan dan menyertai program kayuhan basikal sempena Pra-Pelancaran Fun Run and Ride 2018 anjuran Polis Pahang yang akan berlangsung di Temerloh, dekat sini pada 13 Okt depan.

Pada program hari ini, seramai 160 pegawai dan anggota termasuk Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Yusri Hassan Basri menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer (km) yang bermula di Taman Kerang sehingga ke Pantai Kempadang di sini.

Selain itu, Rosli memberitahu pihaknya bercadang memberi insentif kepada anggota yang mengalami masalah obesiti yang berjaya menurunkan berat badan sebagai pembakar semangat untuk mereka menjalani gaya hidup sihat.

Mengulas mengenai penganjuran Fun Run and Ride 2018 yang akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Rosli memberitahu mereka menyasarkan penyertaan 3,000 peserta, dengan tarikh akhir pendaftaran pada 7 Okt depan.

"Ini adalah sebahagian daripada sumbangan kita untuk menjayakan Program Re-Visit Pahang 2018 dan perjalanan sejauh 30 km bagi peserta berbasikal dan 5 km bagi larian akan melalui beberapa kawasan pelancongan di Temerloh termasuk tepi Sungai Pahang.

"Selain merapatkan hubungan polis dan masyarakat, ia juga mempromosikan gaya hidup sihat dan membantu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dari segi penjualan makanan, minuman serta penginapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian dua anak anggota polis digigit semut Charlie di perumahan berhampiran IPD Pekan baru-baru ini, Rosli berkata pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Kesihatan Pahang untuk mengatasi masalah itu.

"Kita difahamkan mereka akan membuat semburan untuk menghapuskan serangga itu. Setakat ini tiada mangsa lain dilaporkan, namun kita akan mencari punca bagaimana semut itu boleh berada di situ dan langkah pencegahannya," katanya.

- Bernama