Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita Umno desak tindakan diambil terhadap pemimpin keluar parti

PAU 2018 | Wanita Umno menggesa kepimpinan tertinggi parti itu berbuat sesuatu berhubung isu sejumlah pemimpin yang bertindak meninggalkan parti selepas PRU ke-14.

Ketuanya Datuk Noraini Ahmad berkata ia bagi menghalang lebih ramai lagi pemimpin untuk berbuat demikian seterusnya mengurangkan kerusi parlimen yang dipegang Umno.

"Selain itu, ia tentang kesetiaan kepada parti. Semasa dia tawarkan diri (untuk jadi calon) dia dalam Umno, bermakna jentera parti yang bantu memenangkan mereka.

"Hari ini kita menekankan dan mendesak supaya presiden sendiri mengambil tindakan terhadap mereka (pemimpin yang keluar parti) kerana kita perlu halang perkara ini," katanya dalam sidang media selepas berucap di Perhimpunan Agung Umno 2018 di PWTC hari ini.

Sejak PRU ke-14, sebanyak lima anggota parlimen dan 13 ADUN telah meninggalkan parti itu. Terbaru adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman kira-kira seminggu lalu.

Dalam ucapannya, Noraini berkata mereka yang telah keluar perlu memulangkan kerusi parlimen yang dimenangi ketika masih berada dalam Umno.

“Walaupun mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang sivil, mereka sudah melanggar kontrak sosial."

Beliau juga menggesa parti melaksanakan aku janji taat setia, atau bai'ah, kepada semua pemimpin dan anggota bagi mengelakkan perkara serupa di masa akan datang.

"Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa atau di saat dilimpahi kesenangan...tetapi di saat Umno sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan.

"Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita ketika Umno dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang...kami tahu sebab-sebabnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS