Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tarik balik buku Sarawak Report atau berdepan saman RM100 juta'

Peguam kepada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah menuntut penerbit dan pencetak The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé menarik semula buku itu daripada pasaran.

Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata, surat tuntutan telah dihantar kepada penerbit Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd serta kepada penulis buku itu Clare Rewcastle-Brown, pada 27 September lalu.

Selain penarikan semula buku itu, ketiga-tiga pihak juga dituntut untuk membuat permohonan maaf bertulis berdasarkan syarat yang dipersetujui baginda, serta aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan-kenyataan terlibat dalam buku itu.

Ia merujuk satu petikan di halaman tiga buku itu yang antara lain menyatakan 

Jho (Low) was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position."

("Jho Low juga berkawan dengan individu utama di Terengganu, iaitu isteri Sultan, yang mana penerimaannya diperlukan untuk menubuhkan badan dana dan dia kemudian mengatakan sokongan baginda sebagai amat penting untuknya mendapatkan kedudukan sebagai penasihat.)

Haaziq berkata, ketiga-tiga pihak diberi masa lapan hari bermula tarikh tersebut untuk memenuhi tuntutan itu, atau berdepan saman berjumlah RM100 juta.

Katanya lagi, sebarang ganti rugi yang diarahkan mahkamah nanti akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan.

"Sultanah tidak mahukan wang, tetapi mahu melindungi nama baik institusi keluarga diraja Terengganu dan kedudukannya sebagai sultanah," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Sidang media turut disertai pasukan peguamnya serta Pengelola Bijaya Diraja Terengganu Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut Haaziq, petikan dalam buku itu telah mengakibatkan penderitaan, malu dan kecederaan kepada reputasi Sultanah Nur Zahirah dan baginda telah mengarahkan pengelola bijaya diraja membuat laporan polis pada 14 September lalu.

Katanya, petikan itu memberi gambaran Sultanah Nur Zahirah terlibat dalam amalan rasuah, mempunyai hubungan rapat dengan "individu-individu yang dicurigai" terutama Jho Low dan dapat mempengaruhi pentadbiran negeri.

"Kenyataan Rewcastle-Brown adlaah tidak dijustifikasikan, tidak berasas dan mempunyai elemen yang menghina," katanya lagi.

Pada 27 September lalu, Rewcastle-Brown telah menyiarkan permohonan maafnya terhadap Sultanah Terengganu di laman Sarawak Report.

Beliau antara lain berkata petikan itu tidak berniat menunjukkan baginda "dalam konspirasi" bersama Jho Low atau "terlibat dalam pentadbiran dalam perkara seputar 1MDB."

"Kami memohon maaf jika baginda kecewa dengan salah tafsir terhadap maksud kami dan yakin (kenyataan ini) telah menjelaskan keadaan," katanya.

Permohonan itu tidak diterima Sultanah Terengganu kerana dianggap tidak memadai.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS