PAU 2018 | Selain Pemuda Umno, sayap Wanita parti itu juga menggesa kerjasama lebih erat dengan PAS.

Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad berkata, selain untuk mengukuhkan suara semak dan imbang pembangkang, kerjasama itu adalah landasan kepada penyatuan Melayu-Islam di Malaysia.

“Kerjasama ini pastinya mempunyai cabaran. Namun diharap ia mampu menjadi permuafakatan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini,” katanya dalam ucapan di Perhimpunan Agung umno 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerjasama antara dua parti itu dilihat semakin meningkat menerusi dua PRK sebelum ini - Seri Setia dan Sungai Kandis - dan turut dibincangkan dalam muktamar PAS awal bulan ini.

Malah barisan pemimpin Umno diketuai presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke perasmian muktamar itu.

Hari ini Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Wanita parti itu Dr Nuridah Mohd Salleh turut hadir ke persidangan Pemuda dan Wanita Umno, dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka menyusulinya.

Nuridah menyifatkan terima kasih kepada Wanita Umno atas jemputan itu dan menyifatkan kekalahan Umno dan BN pada PRU ke-14 mempunyai hikmah tersendiri.

"Mungkin ini antara hikmah kekalahan itu, mudah-mudahan (perjuangan) kepentingan agama dan rakyat Malaysia menjadi kenyataan," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan kehadiran mereka di perhimpunan itu hanyalah atas dasar muafakat antara pembangkang.

"Baru setakat itu saja, tiada lebih lanjut...Bagi kit apa saja yang baik untuk kepentingan agama dan rakyat kita akan bersama, seperti apa yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS," katanya ketika ditanya berhubung kesediaan PAS untuk bergabung dengan Umno.

'Tak boleh berpecah lagi'

Dalam pada itu, Noraini dalam ucapannya turut menggesa Wanita Umno agar terus bersatu kerana parti itu tidak mampu untuk berdepan perpecahan selepas kehilangan kuasa pada PRU lalu.

“Umno sukar dihancurkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam. Tetapi sedarkah kita bahawa ada usaha berterusan untuk memecahbelahkan parti dari dalam oleh musuh kita?

“Sepatutnya kita berusaha untuk berpadu bak perumpamaan silam: 'Serumpun bak serai, sejunjung bak sirih'.

"Bukan sahaja sesama ahli parti, bahkan dengan parti-parti yang sehaluan dengan perjuangan kita,” kata Noraini.