Amar Singh kecam Raja Petra 'perlekeh' serban Sikh
Datuk Seri Amar Singh mengecam kenyataan "merendah-rendahkan dan bersifat perkauman" yang dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung serban yang dipakai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu.
Kenyataan itu dibuat selepas Amar menafikan dakwaan "tidak berasas" oleh Raja Petra yang menuduh polis mencuri RM43.3 juta ketika menyerbu kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.
Amar turut mencabar Raja Petra membuat laporan polis berhubung perkara itu dan tidak "bersembunyi di sebalik tirai siber".
Dalam tulisan balas kepada Amar di blognya, Raja Petra menyentuh tentang serban Amar, termasuk menyifatkannya sebagai "terlalu ketat".
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Amar menulis: "... Apabila Raja Petra membalas dengan kenyataan merendah-rendahkan dan menghina untuk memperlekeh bangsa seseorang individu, semua rasa hormat yang tersisa untuknya telah habis, kerana kenyataan perkauman dan bersifat diskriminasi hanya digunakan oleh mereka yang lemah.
"Warga Sikh sangat menghormati pemakaian serban, jangan memperlekeh dan cuba memandang rendah kami. Kami mempunyai lebih banyak semangat dan keberanian dalam diri kami," katanya.
Amar juga menyorot bahawa Raja Petra sudah "mengaku" sebagai penulis upahan apabila berkata "semua orang adalah penulis upahan".
"Namun, walaupun seseorang itu penulis upahan, setidak-tidaknya dia perlu mempunyai moral dan integriti untuk menulis tentang kebenaran.
"Jangan jadi 'anjing peliharaan' sesiapa," katanya.
Amar, dalam kenyataannya di Faceboot turut menggunakan nama 'Sikh Sardar' merujuk dirinya, yang bererti lelaki Sikh yang lengkap berserban.
Raja Petra semalam menulis sebuah tulisan bertajuk "Pasti serban Amar Singh terlalu ketat".
Tulisan itu antara lain menyatakan: "Serban Amar Singh pasti terlalu ketat sehingga menghalang peredaran darah ke otaknya".
Amar menerajui siasatan polis berhubung 1MDB yang kini menyebabkan Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

