Pinda GPA sekat hak k'jaan saman fitnah rakyat - Gobind
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobond Singh Deo menyarankan untuk meminda Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA) bagi menyekat hak kerajaan menyaman fitnah terhadap rakyatnya.
Ini susulan keputusan penting Mahkamah Persekutuan mengenai kerajaan berhak untuk membuat tindakan undang-undang terhadap individu kerana memfitnah, sebagaimana yang diperuntukkan dalam GPA.
"Mahkamah Persekutuan bergantung kepada peruntukan dalam GPA dalam merumuskan keputusan tersebut.
"Pada pandangan saya kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk meminda tindakan tersebut supaya menghapuskan atau menyekat hak kerajaan untuk menyaman fitnah warganya.
"... Jaminan kebebasan bersuara memberi hak kepada rakyat untuk menyatakan pendapat mereka, baik untuk membantah atau (menyokong) kerajaan yang telah mereka pilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind, yang juga seorang peguam, berpendapat kerajaan harus dianggap sebagai badan awam yang boleh dikritik.
"Justeru itu, saya menyokong gesaan daripada (Timbalan Menteri Undang-undang) Hanipa Maidin bagi membentuk suatu jawatankuasa yang akan mengkaji penghakiman Mahkamah Persekutuan dengan terperinci dan kemudiannya mencadangkan pindaan kepada kabinet untuk tujuan itu," katanya.

Hanipa telah menggesa pembentukan jawatankuasa itu semalam, berkata mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hal tersebut tidak lama lagi.
Jawatankuasa itu, katanya, akan melihat GPA dan prinsip umum Derbyshire, yang melarang pihak berkuasa awam daripada membuat tindakan saman fitnah.
Prinsip Derbyshire sebelum ini telah dikuatkuasakan dua kali oleh Mahkamah Rayuan apabila membatalkan saman bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap media.
Kes MP Bandar Kuching
Dalam mengkritik keputusan itu, Hanipa mempertahankan prinsip berkenaan, menyatakan ia mencerminkan hak suci rakyat untuk mengatakan sesuatu - walaupun kelihatan memfitnah - terhadap kerajaan yang mereka pilih".
Pada hari Rabu lalu, lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Ma'arop dalam kes rayuan Anggota Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen terhadap kerajaan Sarawak, memutuskan prinsip itu tidak terpakai kerana terdapat undang-undang sedia ada, termasuk GPA.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan 2016 dalam kes ini bahawa Seksyen 3 akta berkenaan tidak mengecualikan prosiding dalam saman fitnah atau libel oleh atau terhadap kerajaan.
Kerajaan Sarawak pada 2012 telah menyaman Chong, kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kerana memfitnah selepas mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan beberapa portal berita, termasuk Malaysiakini.
Para anggota persatuan guaman juga mengkritik keputusan itu, termasuk bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas hakim persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

