Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dikenali sebagai pemimpin yang sanggup mengakui kesalahannya. Dalam banyak wawancara, beliau menyalahkan polis atau mahkamah terhadap pemenjaraan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang kemudian menjadi musuh dan kini bertukar sekutu rapat pula.

Ia bukan satu pengecualian dalam temu bual terbaru Mahathir dengan Wall Street Journal sempena lawatannya ke AS bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB ke-73.

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketujuh pada usia 93 tahun, Mahathir kelihatan agak melembutkan pendiriannya, malah mengakui terdapat kritikan terhadapnya semasa era pentadbirannya sebagai perdana keempat dari 1981 hingga 2003 yang patut diteliti.

"Terdapat kritikan terhadap saya ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun... dan saya lihat ada kritikan yang wajar untuk diteliti," katanya.

Pada 2016, semakin banyak pendedahan mengenai skandal 1MDB di bawah perdana menteri ketika itu, iaitu bekas anak didik Dr Mahathir, Datuk Seri Najib Razak.

Sewaktu itulah, Mahathir mula berpihak kepada pembangkang dan seterusnya pada pilihan raya umum 9 Mei berjaya menamatkan penguasaan BN yang telah memerintah Malaysia selama 61 tahun.

Sekutu pernah dipenjarakan

Walaupun Mahathir kini cuba untuk meletakkan perkara yang betul, pengkritiknya juga telah menyalahkan beliau kerana didakwa menjadi punca kerosakan yang membolehkan para pemimpin seterusnya untuk terlibat skandal yang lebih teruk daripada sebelumnya.

Dalam temu bual terbaru dengan Wall Street Journal, Mahathir mempertahankan dirinya tetapi berkata beliau mahu meyakinkan sekutunya dalam kerajaan baru, yang kebanyakannya pernah beliau penjarakan pada masa lalu.

"Salah satu perkara yang mereka kritik saya adalah saya mempunyai kroni dan saya membantu kroni saya.

"(Sebenarnya) mereka mampu melakukan sesuatu, saya cenderung untuk menyokong orang yang berkebolehan, yang telah menunjukkan beberapa pencapaian," katanya.

Oleh itu, Mahathir berkata beliau percaya kritikan itu tidak adil dan berlaku salah faham mengenai dirinya.

Walau bagaimanapun, Mahathir berkata kini beliau bersedia mendengar para pengkritik yang juga sekutunya itu.

"Tetapi sekarang, kerana saya bersama orang-orang yang pernah mengkritik saya, saya ingin menunjukkan kepada mereka bahawa saya bukan apa yang mereka fikir mengenai saya," katanya.

Patuh jika itu kehendak rakyat

Mahathir juga enggan mengatakan jika beliau "suka" dengan idea Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri kelapan, tetapi berkata beliau akan mematuhi hal tersebut jika itu adalah kehendak rakyat.

Anwar pada tahun 1998 dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah.

Beliau dibebaskan pada tahun 2004 di bawah pengganti Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi pada tahun 2015 sekali lagi dihantar ke penjara atas tuduhan liwat di bawah pentadbiran Najib.

Anwar bertegas kedua-dua tuduhan itu bermotifkan politik.

Mahathir, setelah menjadi perdana menteri, membantu untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Anwar.

Kedua-dua pemimpin itu berdamai menjelang pilihan raya umum ke-14 dan kerjasama itu terbukti berjaya kerana Malaysia melihat perubahan pertama dalam kerajaan sejak kemerdekaan.