Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH sasar tanding 13 kerusi PRN S'wak - Salahuddin
Diterbitkan:  Sep 29, 2018 6:24 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak akan bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presidennya Datuk Salahuddin Ayub berkata DUN terbabit ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Semop, Kuala Rajang, Daro, Jemoreng, Kabong, Balingian dan Sadong Jaya.

“Mungkin ini terlalu awal (untuk bercakap mengenai kerusi) tetapi AMANAH akan kekal dengan keputusan meletakkan calon di kesemua 13 kerusi DUN untuk PRN12 nanti,” katanya semasa berucap pada majlis Pelancaran Jentera Parti Amanah Negara Sarawak, di Kuching hari ini.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun tidak menolak kemungkinan jumlah kerusi yang akan ditandingi AMANAH lebih daripada 13 kerusi.

“Kami (parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan) mengamalkan sikap bertolak ansur antara satu lain, jadi sekiranya ada penambahan kerusi, itu adalah kesepakatan bersama.

"Tidak kisah berapa banyak kerusi akan ditandingi, yang penting adalah kemenangan bersama HARAPAN pada PRN nanti,” katanya.

Katanya AMANAH Sarawak melakukan persediaan awal kerana mahu memastikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri pada PRN ke-12 itu.

“Saya pasti dengan sokongan daripada komponen parti HARAPAN yang lain, AMANAH mampu bersama-sama meraih kemenangan pada PRN12 yang akan datang agar hasrat membentuk kerajaan Pakatan Harapan di Sarawak menjadi kenyataan, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS