Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tragedi maut: Waspada 12 kawasan rekreasi air - Raja Bahrin

Terdapat 5 buah sungai, sebuah tasik, 3 air terjun dan 3 pantai yang berisiko tinggi, maklum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta orang ramai agar lebih berhati-hati melakukan sebarang aktiviti di 12 kawasan rekreasi air di seluruh negara yang dikesan berisiko tinggi berlaku tragedi kematian.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata 12 kawasan berkenaan adalah lima buah sungai, satu kawasan tasik/lombong/empangan, tiga kawasan air terjun dan tiga kawasan pantai.

Lima buah sungai yang terlibat itu ialah Sungai (Sg) Kampung (Kg) Batu Payung, Tawau, Sabah, Sg SJKC Kg Timah, Sg Ciling dan Sg Gasi di Selangor dan Sg Kg Sabak, Kelantan.

“Empangan Semenyih, Selangor, Air Terjun Sg Sendat (Selangor), Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjung Chamang di Pahang. Pantai yang berisiko termasuk Pantai Nipah dan Muara Tok Bali (Kelantan) dan Pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air anjuran Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Pulau Warisan, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Mohammad Hamdan Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT Zamri Salleh dan Pengarah Bomba Terengganu Azlimin Mat Noor.

Selangor catat tragedi tertinggi

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata mengikut statistik JPBM, Selangor mencatatkan jumlah tragedi kematian di air terbanyak iaitu 44 diikuti Sarawak (34) dan Perak (22).

Beliau tidak menolak faktor kurangnya kesedaran terhadap keselamatan dan risiko akan sesuatu kawasan berbahaya untuk melakukan aktiviti dan rekreasi di air menjadi punca kematian dan kemalangan.

“Kita berharap kempen kesedaran menjaga keselamatan di air ini terus diperhebatkan khususnya pada peringkat awal dengan menjurus kepada golongan belia dan pelajar sekolah bagi memastikan kes tragedi kematian di air tidak berulang.

“Selain demonstrasi menyelamat dan bantuan kecemasan di air, mungkin boleh diselitkan juga program-program televisyen, infografik atau kartun (animasi) bagi memberi peringatan kepada golongan ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS